PARIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengesan seorang mangsa yang dipercayai lemas di Sungai Perak berhadapan dengan cabaran baharu berikutan keadaan air yang agak cetek di lokasi kejadian.
Ketua Operasi, Penolong Penguasa Bomba Ismail Mohd Yunus berkata buat masa ini pihaknya mengalami masalah berikutan paras air cetek yang menyukarkan bot untuk melaksanakan rondaan di sekitar jarak mangsa, Mohamad Ikhwan Mohamad Nizam dipercayai jatuh dan hanyut pada Syawal ketiga (Ahad) yang lepas.
Menurutnya,  buat masa ini pihaknya mendapat bantuan daripada BBP Teluk Intan untuk melaksanakan rondaan di Parit namun ianya berkemungkinan mendatangkan bahaya kepada pasukan penyelamat tersebut.
“Bila bot pasukan Bomba melalui kawasan cetek, bot sukar untuk melepasi lokasi pemantauan kerana kawasan cetek agar berpasir.
“Bagaimanapun,kami tidak akan berhenti sebaliknya pasukan penyelam telah melaksanakan kaedah “surface searching” iaitu mengesan dari permukaan sungai,”katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Selasa.
Menurut beliau, setelah operasi berjalan melebihi 48 jam pihaknya masih belum dapat menemui mangsa yang berusia 22 tahun itu.
Ismail berkata, kekuatan logistik terdiri daripada tiga unit bot Bomba, satu unit bot K9 anjing pengesan, satu unit bot Rela, satu unit bot JPS dan satu unit bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta dua buah unit milik orang kampung menjadikannya sebanyak sembilan bot secara keseluruhan.
“Seramai 59 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi telah terlibat dalam operasi SAR yang bermula sejak tujuh pagi hari ini (Selasa),”ujarnya lagi.
Astro Awani akan membawakan sebarang perkembangan terkini mengenai operasi SAR untuk mencari mangsa lemas di Sungai Perak dari masa ke masa.