KAMPAR – Kehadiran pelancong mula merosot apabila tiga sungai utama yang menjadi nadi utama aktiviti berasaskan sungai di Kampung Sahom, di sini, didakwa dicemari pembuangan sisa galian.

Sungai Dipang, Sungai Kepar dan Sungai Reas terkenal dengan kejernihan dan aktiviti memancing dalam kalangan pelancong mula terjejas apabila wujud pihak dipercayai menjalankan aktiviti perlombongan di hulu sungai terbabit.

Media yang dibawa menyusuri Sungai Kepar bersama penduduk kampung dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Perak menemui paip by pass dan alur limpah yang dibina tanpa penapis di hujung kolam mendapan dari aktiviti perlombongan tersebut.

Pelepasan kelodak air secara terus ke alur sungai menyebabkan sungai tersebut menjadi keruh dan menjejaskan aktiviti sosio ekonomi penduduk.

Ketua Kampung Sahom, Mohd Lot Abdul Hamid berkata, penduduk mula menyedari pencemaran itu apabila warna air bertukar keruh walaupun pada waktu kemarau.

“Kami faham sekiranya air bertukar keruh pada waktu hujan tetapi apabila ia berlaku pada waktu panas, ia menunjukkan terdapatnya aktiviti di hulu sungai tanpa pengetahuan penduduk.

“Siasatan menemui lokasi ini dan tanpa rasa bertanggungjawab mereka melepaskan kelodak sisa buangan ke sungai yang menjadi sumber utama kepada penduduk kampung,” katanya.

Menurutnya, beliau turut menerima ugutan menerusi telefon bimbit yang meminta penduduk untuk tidak menceroboh kawasan berkenaan terbabit jika tidak mahu berhadapan dengan tindakan mahkamah.

“Tindakan pihak itu merupakan satu jenayah terhadap alam sekitar sekaligus menjejaskan sumber pendapatan penduduk. Jumlah tangkapan nelayan darat berkurangan kerana sikap itu.

“Aduan ini dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains Negeri serta pejabat exco kerajaan negeri,” katanya.

Mohd Lot berkata, pendedahan menerusi media diharap dapat membuka mata banyak pihak untuk mengambil tindakan selanjutnya termasuk menjalankan pemeriksaan bersepadu di kawasan terbabit.

“Kami tidak melihat sebarang aktiviti atau pergerakan keluar masuk kenderaan berat di kawasan ini, namun kita percaya pihak terbabit melepaskan sisa kelodak ke  sungai pada waktu malam bagi mengelakkan di kesan oleh penduduk,” katanya.

Air sungai warna teh tarik

Pengusaha Sahom Valley Agro dan Eco Resort, Shariff Ali Jabad Ali berkata, dia bersama pengusaha pelancongan lain kecewa dengan aktiviti itu yang memberi kesan akan jumlah pengunjung ke penempatan mereka.

Katanya, jumlah pengunjung mula merosot daripada 200 pengunjung setiap hujung minggu berkurangan 50 peratus hanya kerana pemandangan sungai yang kotor.

“Kami bergantung akan kebersihan sungai di sini kerana kami menyediakan pelbagai aktiviti seperti river tubing, berakit selain bermandi manda. Kesejukan dan kejernihan air menjadi tarikan pelancong terutamanya dari luar negara.

“Kami mengalami kerugian apabila ada pengunjung membatalkan tempahan bilik apabila pemandangan chalet menghadap sungai tidak cantik seperti sebelum ini. Ketika mandi, air juga berbau busuk,” katanya.

Bagi pengusaha chalet, Mejar (B) Mohd Khariri Mohd Hassan berkata, penduduk juga perlu meningkat kesedaran untuk tidak membuang sampah ke dalam sungai.

“Tindakan penduduk membuang sampah akan memburukkan lagi keadaan tambahan sungai yang berwarna kuning kehitaman ini.

“Penduduk kena ada kesedaran yang tinggi untuk menjaga kebersihan kampung dan sungai. Sungai ini adalah aset berharga untuk semua,” katanya.

Jejas ekosistem, kesihatan penduduk

Pengerusi Peka, Sajeeda Muhammad berharap agensi kerajaan telah memulakan langkah untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap terhadap pihak yang mengabaikan aspek kelestarian alam sekitar.

“Kita percaya mereka sedia maklum akan aduan ini. Lebih 100 penduduk hadir membantah aktiviti yang menjejaskan sungai mereka.

“Saya terkejut dan sedih apabila sungai sebagai khazanah alam ini telah dicemari sehingga menjejaskan ekosistem sungai dan kesihatan penduduk.

“Penduduk mengadu mereka mengalami kegatalan selepas menggunakan air sungai ini. Peka harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas segera,” katanya – sinar