BATU KURAU: Beberapa buah rumah di Kampung Pondok Quin di sini telah dinaiki air berikutan banjir kilat ‎yang melanda kawasan itu malam Khamis.
Difahamkan, air mula naik sekitar 7 malam setelah hujan lebat tanpa henti sejak 4 petang dan berlarutan sehingga ‎malam.

Warga emas, Azizah Yusoff,65 berkata ini bukanlah kejadian banjir kilat yang pertama disebabkan air sungai yang terletak berhampiran melimpah.

“Nasib baik kali ini air yang naik tidaklah setinggi mana, sekadar atas paras buku lali sahaja. Tapi perabot terpaksa juga dialihkan sebab takut rosak.

“Harap-harap ada penyelesaian untuk masalah kami ini. Tak larat kami hadapi banjir kilat setiap kali hujan lebat. Agak memenatkan sebab kena bersihkan rumah selepas air surut,”katanya.

Jelasnya, selain selut air daripada sungai yang melimpah masuk ke rumah penduduk berbau busuk.

‎Azizah berkata, beberapa pegawai daripada pejabat Pusat Khidmat ADUN Batu Kurau ada datang meninjau keadaan rumah yang terjejas.

Katanya bantuan untuk membersihkan rumah-rumah penduduk telah diuruskan oleh pejabat wakil rakyat.

Selain daripada rumah penduduk, turut terjejas adalah jalan raya di kampung itu.

“Air hanya mulai surut sekitar pukul 11 malam dan diharap keadaan akan bertambah baik esok,”ujarnya lagi.