KUALA KUBU BHARU: Umpama dahagakan nyawa manusia, Air Terjun Sungai Sendat yang dibuka Februari lalu selepas ditutup lebih setahun berikutan kes mati lemas pada penghujung 2016, meragut tiga lagi nyawa semalam.

Tragedi yang menimpa dua beradik, B Peacaiswaran, 25, dan adiknya, B Nagulan, 20, serta seorang rakan mereka, G Ganesan, 23, pagi semalam menjadi bukti bahaya yang sentiasa menanti pengunjung ke kawasan perkelahan itu.

Susulan kejadian itu juga, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengambil tindakan tegas menutup kawasan itu berkuat kuasa serta merta.

Pegawai Hutan Daerah Hulu Selangor, Syed Mohd Azdha Syed Khalid, berkata arahan penutupan kawasan itu bermula petang semalam sehingga tempoh masa yang akan ditentukan kelak.

“Kawasan air terjun ini baru saja dibuka kepada pengunjung pada awal Februari lalu tetapi berikutan kejadian mati lemas semalam, notis penutupan serta merta dikeluarkan sehingga tempoh yang tidak dinyatakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Air Terjun Sungai Sendat terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal dan menjadi lokasi perkelahan sejak lebih 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, hampir setiap tahun bermula 2009, kawasan itu mencatat kejadian mati lemas sehinggalah yang terbaru semalam.

Kawasan itu mula ditutup kepada pengunjung pada penghujung 2016 selepas dua kes mati lemas direkodkan pada Julai dan September – berita harian