IPOH: Jumlah mangsa banjir di seluruh Perak kekal 221 orang daripada 62 keluarga sehingga jam 8 pagi Sabtu, sama seperti semalam.

Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), seramai 13 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Surau Kampung Padang Serai Dalam.
Mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai di Daerah Manjung kekal 208 orang daripada 58 keluarga.

Menurut Penolong Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak, Lt. Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji, keadaan di daerah Manjung itu disebabkan oleh faktor paras tanah yang lebih rendah berbanding paras air.

“Banjir di Kampung Padang Serai disebabkan oleh air bertakung dan tidak dapat keluar ke sungai. Keadaan ini sama dengan di Kampung Padang Serai Dalam yang bersebelahan dengan Kampung Padang Serai (Beruas/ Manjung),” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Dalam pada itu ujar Zairil, keadaan tanah yang tepu juga menyebabkan air tidak dapat menyerap ke tanah sehingga terjadinya situasi air termenung.

“APM Perak terpaksa meminta bantuan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak untuk mengepam air yang bertakung keluar ke sungai atau laut namun fasiliti itu amat terhad dan melambatkan proses pengepaman.

“Keadaan ini juga disebut banjir termenung dan menyebabkan keadaan banjir di Manjung masih lagi tidak surut,” katanya.