KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd, memperbadankan sebuah anak syarikat milik penuh, AAX Aviation Capital Ltd (AAC), untuk memudahkan pemajakan kapal terbang oleh Kumpulan AirAsia X.

Syarikat penerbangan jarak jauh yang juga syarikat bersekutu AirAsia Bhd itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, berkata subsidiari yang baharu diperbadankan itu, AAC menubuhkan pula anak syarikat milik penuh, iaitu AAX Leasing One Ltd (ALO).

Ia berkata, kedua-dua syarikat sendirian berhad itu diperbadankan di bawah Akta Syarikat Labuan 1990, dan berkemungkinan besar tidak akan mempunyai kesan serta-merta ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama AirAsia X

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Tan Sri Tony Fernandes dalam catatan Twitter terbaharu beliau berkata, rancangan penyusunan semula untuk menubuhkan Kumpulan AirAsia sudah diluluskan oleh pihak berkuasa.

“Hari terbaik bagi AirAsia. Kumpulan AirAsia sudah diluluskan oleh mahkamah Malaysia. Impian untuk mempunyai satu syarikat penerbangan sudah semakin hampir. Berita besar bagi semua kakitangan yang sudah bekerja keras,” katanya.

Dilaporkan langkah penyusunan semula itu, akan menyaksikan kumpulan baharu berkenaan mengambil peranan dalam status penyenaraian AirAsia Bhd di Bursa Malaysia, membabitkan pertukaran 3.34 bilion saham AirAsia sedia ada – bernama