BUNTONG – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru mengajak penduduk menzahirkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke- 61 bulan ini.

Pengerusinya, M Thanga Raji berkata, penduduk dilihat masih kurang untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing walaupun pelbagai aktiviti dijalankan bagi mengisi sambutan bulan kemerdekaan.

“Penduduk perlu memainkan peranan dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang tanpa diminta.

“Saya lihat penduduk kurang mengibarkan bendera di rumah mereka. Hari Kebangsaan pada Jumaat ini, tidak terlambat untuk penduduk menghiasi rumah mereka,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Perarakan Konvoi Basikal Berhias sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran di Sekolah Kebangsaan Guru Kalgidhar, Jalan Sungai Pari di sini.

Seramai 36 murid-murid sekolah sekitar Buntong menghiasi basikal mereka dengan Jalur Gemilang sebelum berkonvoi mengelilingi kawasan Buntong.

Thanga Raji berkata, program itu memberi kesedaran kepada penduduk akan Bulan Kebangsaan dan semangat cintakan negara.

Pada majlis itu, Kula Segaran berkata, program itu menerap budaya perpaduan terutama kepada kanak-kanak yang menjadi elemen penting dalam negara yang majmuk.

“Penyertaan murid-murid ini memberi suntikan baharu dan membentuk peranan kepada mereka bukan sahaja ketika menyambut Hari Kebangsaan sebaliknya ia membentuk perpaduan tidak kira bangsa dan agama,” katanya – sinar