IPOH – Seorang wanita warga Vietnam maut manakala tiga lagi dipercayai warga asing cedera parah selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Burung Merak, Sungai Senam, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, mangsa yang maut adalah seorang daripada penumpang di tempat duduk belakang kereta Proton Wira manakala tiga lagi wanita yang cedera berusia antara 20 hingga 26 tahun juga berada dalam kenderaan sama.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan di lokasi mendapati kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan dipercayai dari sebuah pusat hiburan untuk menghantar pekerjanya pulang ke rumah melalui Jalan Burung Merak.

“Bagaimanapun, ketika tiba di simpang empat, kereta itu secara tiba-tiba terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda yang datang dari Jalan Wu Lean Teh iaitu dari arah simpang kiri kenderaan yang dinaiki lima orang itu.

“Akibat perlanggaran, kedua-dua kenderaan terseret ke bahu kanan Jalan Burung Merak dan seorang penumpang belakang kereta Proton Wira maut di lokasi,” katanya.

Wan Jamil berkata, ketika polis tiba di lokasi, mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, manakala tiga mangsa parah dibawa ke hospital menaiki ambulans.

Beliau berkata, mangsa maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan mangsa cedera turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di leher akibat kemalangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan pemandu pacuan empat roda berusia 40 tahun dibawa ke HRPB untuk diambil sampel darah sebelum dihantar ke Jabatan Kimia.

-Sinarharian