IPOH – Dalam usaha mengaruskan lagi aspek kepimpinan serta pengetahuan mengenai demokrasi dalam kalangan belia, kerajaan negeri akan menubuhkan Akademi Rakyat (Akademos).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee berkata, Akademos akan berfungsi sebagai sebuah pusat untuk anak-anak muda di negeri ini akan memberi peluang kepada mereka belajar dengan lebih mendalam mengenai hak dan peranan mereka dalam sistem demokrasi negara ini.

“Melaluinya, golongan belia akan didedahkan tentang konsep sebenar demokrasi yang bukan hanya tertumpu kepada undi dan pilihanraya semata-mata.

“Kita mahu melahirkan anak-anak muda yang celik demokrasi yang seterusnya akan menjunjung tinggi kepada sistem demokrasi berparlimen raja berperlembagaan yang telah dan sedang diamalkan di Malaysia,” katanya ketika sesi penggulungan titah diraja sempena persidangan dewan negeri ke-14, penggal pertama, mesyuarat ke-2, di sini pada Isnin.

Katanya usaha itu merupakan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan suara anak-anak muda diambil perhatian dan menjadikan golongan ini sebagai sebahagian daripada kepimpinan dan pembuat keputusan.

Sementara itu, selain Akademos, Howard juga memberitahu Perbadanan Aspriasi Anak Perak (PASAK) yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka) juga akan diperluaskan skopnya daripada menjadi agensi yang hanya tertumpu kepada pencarian pekerjaan.

“PASAK akan diperkasakan bukan sahaja sebagai pusat sehenti mencari pekerjaan, namun lebih daripada itu ia akan menjadi satu institusi yang skopnya tertumpu kepada apa sahaja yang berkaitan dengan pembangunan belia,” kata beliau.