TRONOH – Kerajaan negeri akan melaksanakan satu kursus dikenali sebagai Akademos (akademi rakyat) khusus memperkasakan pembangunan golongan muda ke arah kemajuan demokrasi negara.

Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, Akademos adalah inisiatif Pejabat Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Insan untuk individu berusia 30 tahun ke bawah.

“Ia merupakan satu kursus tajaan sepenuhnya kerajaan negeri yang berlangsung selama tiga hari kepada 30 anak muda berusia 30 tahun ke bawah.

“Pengisiannya berkisarkan sejarah demokrasi negara dan negara lain dan peranan anak muda yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia serta kemahiran tertentu yang boleh dibangunkan anak muda untuk memajukan demokrasi negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Mesra Kampus 2018 Youth and Powerment di Universiti Teknologi Petronas di sini, semalam.

Menurutnya, peranan agensi kerajaan dan pelaksana dasar lain turut didedahkan bagi memperbaiki kehidupan masyarakat.

“Kita juga akan sentuh peranan seperti ahli majlis, penghulu dan ketua kampung yang dekat dengan masyarakat serta agensi kerajaan supaya rakyat lebih celik mata dan menyenang proses kerajaan untuk memperbaiki masyarakat.

“Peserta akan dipilih tidak lama lagi dan kursus ini dijangka akan berlangsung selewatnya November nanti. Pelajar universiti dialu-alukan untuk menyertainya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UTP, Muhammad Hizbullah Baharom berkata, mereka teruja akan inisiatif baharu kerajaan negeri itu untuk memperkasakan golongan muda.

“Ia selari dengan aspirasi kami untuk tingkatkan kesedaran politik selain memperkasakan belia menerusi kepimpinan muda seperti YB (Howard Lee),” katanya – sinar