IPOH – Seorang wanita mendakwa akaun Facebook miliknya digodam pihak tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan rakan-rakannya terpedaya dan mengalami kerugian kira-kira RM1,000.

Mangsa, Woo Yee Ching, 50, berkata, dia hanya menyedari tentang kejadian itu selepas bertemu seorang rakannya di majlis makan malam di sebuah hotel, di sini, Jumaat lalu.

“Rakan saya itu ada bertanya mengapa saya perlu mengirimkan mesej menerusi Facebook Messenger sedangkan pada ketika itu saya bersamanya.

“Sebaik dimaklumkan perkara itu, saya cuba mengakses akaun Facebook saya namun gagal kerana segala butiran termasuk kata kunci sudah ditukar,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media bersama Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) Ipoh di Potpourri House Cafe, di sini.

Yee Ching berkata, susulan kejadian itu, beberapa rakannya yang lain turut bertanya tentang tindakannya meminta bantuan untuk menambah nilai (top up) Money Online (MOL) di sebuah kedai serbaneka 24 jam.

Katanya, dia bukan sahaja tidak mengetahui malah memburukkan lagi keadaan ada di antara rakannya membelikan kad tambah nilai terbabit dan memasukkan butirannya ke akaun Facebook miliknya tanpa memaklumkan terlebih dahulu.

“Seorang daripada rakan saya sanggup membeli nilai tambah sebanyak tiga keping berjumlah RM300 kerana bimbang saya benar-benar perlukan bantuan itu,” katanya.

Yee Ching berkata, bimbang kejadian lebih buruk, dia membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Baru.

Sementara itu, Pengerusi MCPF Ipoh, Henry Choong Foh Kuan berkata, pihaknya meminta orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan penipuan atas talian sepertimana kejadian menimpa Yee Ching.

“Saya minta polis menyiasat perkara ini dan menggesa orang ramai tidak terlalu percaya dengan penipuan berkenaan yang meminta tambah nilai sekali gus mengakibatkan mangsa kerugian berbentuk wang ringgit,” katanya.

-SinarHarian