PRAI: Kerana suami berhutang along dan curang dengan wanita lain, seorang wanita berusia 34 tahun diselamatkan pihak berkuasa selepas dia cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang jam 12.40 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, wanita berkenaan bersama empat anaknya menaiki sebuah kereta jenis Proton Exora dari arah Prai ke Georgetown sebelum berhenti di Kilometer 1.0 jambatan itu.

Beliau berkata, sebaik tiba di situ, wanita berkenaan duduk di luar kereta berhampiran penghadang jalan manakala empat anaknya dibiarkan di dalam kereta.

“Orang awam yang curiga dengan aksi wanita berkenaan kemudian bertindak menghubungi bomba dan pihak berkuasa lain.

“Wanita berkenaan dipercayai berada dalam keadaan tekanan dan kurang waras,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa cuba memujuk wanita berkenaan untuk tidak bertindak terjun daripada jambatan sebelum dia cuba untuk melarikan diri.

“Wanita berkenaan cuba untuk melarikan diri dengan memandu keretanya namun berjaya dihalang.

“Suami wanita berkenaan yang berada di lokasi kejadian berjaya memujuk isterinya sebelum mereka dibawa ke balai polis berhampiran bersama empat anak mereka,” katanya – berita harian