KUALA LUMPUR: Seramai 34,000 belia yang menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman, mendapat bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK) setakat akhir tahun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata menerusi PPK, AKPK membantu menstruktur semula pinjaman golongan berkenaan sehingga berupaya mengawal semula kedudukan kewangan masing-masing.

“Usaha menyeluruh diambil untuk meningkatkan keupayaan mengurus kewangan secara berkesan, terutama golongan belia sebagai kemahiran hidup yang penting ke arah melahirkan masyarakat celik kewangan.

“Setakat ini, AKPK melaksanakan lebih 1,700 sesi pendidikan kewangan mengenai pengurusan kewangan peribadi yang disertai lebih 1.2 juta orang termasuk golongan belia.

“Malah, seramai 34,000 belia sudah dibantu dengan menstruktur semula kedudukan kewangan mereka,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) yang ingin mengetahui usaha diambil AKPK dalam memberi bimbingan kewangan kepada golongan belia.

Guan Eng berkata, pelbagai inisiatif pendidikan kewangan dijalankan AKPK untuk golongan belia seperti melaksanakan modul pengurusan kewangan peribadi dan menjalankan Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER).

“AKPK turut menganjurkan program ‘Social Enterprise Literacy For Youth’ (SELFY) dengan objektif memberi pendedahan kepada kaedah pengurusan kewangan selain program ‘Be Your Own Boss’ yang menyediakan tips kewangan kepada golongan pekerja.

“Ada juga program pinjaman khusus bagi golongan belia yang pastinya dapat memperkasakan ekonomi melalui peluang pekerjaan, melanjutkan pelajaran, memulakan perniagaan dan banyak lagi,” katanya – Berita harian