RANTAU PANJANG: Cubaan dua individu menyeludup 150 kilogram (kg) daun ketum menggunakan kereta Honda Civic ke negara jiran gagal apabila kegiatan itu dikesan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di sini, semalam.

Anggota AKSEM mengejar kenderaan yang dinaiki lelaki terbabit sejauh 60 kilometer (km) menghala ke Rantau Panjang selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di Batu 11, Tanah Merah, sebelum kenderaan itu ditinggalkan di sebuah rumah di Kampung Kubang Pak Itam, Pasir Mas.

Komander Kawasan AKSEM, Shuhaidi Saidon, berkata kenderaan yang membawa 15 guni daun ketum terbabit menjadi transit untuk diseludup melalui pangkalan haram di Rantau Panjang.

Bagaimanapun, katanya, suspek berkenaan bertindak melarikan diri sebelum meninggalkan kenderaan yang berisi barang terlarang itu di sebuah rumah di sini.

“Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, kami mengesan kereta itu dalam keadaan mencurigakan di Batu 11 dan apabila dihampiri, pemandu terbabit bertindak melarikan diri.

“Susulan itu, kami syak mereka membawa barang salah sebelum anggota kami mengejar mereka sejauh 60km sehingga ke Rantau Panjang.

“Kenderaan yang dipandu suspek memecut dan memandu secara melulu menyebabkan kami sukar mengekori sehingga kenderaan terbabit ditemui semula di sebuah rumah di Kampung Pak Itam, Pasir Mas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat AKSEM Rantau Panjang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Shuhaidi berkata, pihaknya sudah merampas kereta terbabit bersama daun ketum yang bernilai keseluruhan RM67,500.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan terhadap kenderaan ketika ditemui mendapati nombor casis dan enjin berbeza dengan nombor pendaftaran.

“Kami syak kereta terbabit dari negara jiran selepas pemeriksaan lanjut dilakukan dan kesemua barang rampasan dirujuk ke Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya – berita harian