PADANG BESAR: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Padang Besar berjaya membongkar kegiatan lokasi pengumpulan dan pembungkusan daun ketum di FELDA Mata Ayer di sini, kelmarin.

Komander AKSEM Perlis, Syed Basri Syed Ali, berkata dalam serbuan malam Khamis lalu, pihaknya mendapat maklumat melalui hasil risikan mengenai kegiatan megumpul dan membungkus daun ketum di lokasi berkenaan.

“Hasil intipan dan risikan terperinci ke atas lokasi terbabit, kami bertindak menyerbu setor di belakang sebuah rumah di FELDA Mata Ayer.

“Serbuan yang dilakukan pada jam 11 malam itu menemui ratusan bungkusan plastik yang berselerak di atas lantai berisi daun hijau dipercayai ketum.

“Kesemua daun ketum berkenaan dianggar bernilai lebih RM62,960 bagaimanapun ketika serbuan dilakukan setor itu kosong,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Syed Basri berkata, kesemua daun ketum seberat 787 kilogram itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Kita sudah mengenal pasti dalang utama kegiatan ini dan yakin dapat menahan individu terbabit tidak lama lagi.

“Tindakan mereka ini boleh dikatakan kurang cerdik kerana berani menjadikan setor rumah sebagai lokasi pengumpulan ketum,” katanya.

Jelasnya, kebiasaannya pengumpulan dan pembungkusan ketum dilakukan di kawasan tersorok dari umum seperti di belukar dan hutan kecil.

Namun, katanya tindakan mereka itu nyata mengundang padah kepada diri mereka sendiri.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan daun ketum berkenaan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk tindakan lanjut,” katanya – berita harian