IPOH: Sebanyak RM4juta akan disediakan untuk K-Perak bagi menyediakan kemudahan akses lajur lebar dan mempertingkatkan perkhidmatan telekomunikasi di negeri ini pada tahun 2017.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, peruntukan besar tidak termasuk dana yang diberikan oleh kerajaan Pusat itu, membuktikan dua perkara tersebut sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Selain daripada peruntukan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM 4.0 juta untuk pengurusan dan pelaksanaan program-program di bawah K-Perak.

”Mensejahterakan kehidupan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, hasil serta limpahan manfaat daripada pembangunan negeri, sudah pasti perlu dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk menyejahterakan kehidupan mereka,” katanya ketika pembentangan bajet 2017 Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri ke-13 pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa kerajaan negeri akan memperuntukkan sejumlah RM3.6 juta bagi meningkatkan lagi pembangunan bersifat kesejahteraan bandar.

“Selain daripada projek-projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, itu bagi meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur, perkhidmatan bandar, kemudahan awam dan kemudahan komersil,” ujarnya.