KANGAR: Akta Gangguan Seksual yang cuba diwujudkan turut membabitkan golongan lelaki walaupun istilah gangguan seksual itu menjurus kepada wanita yang menjadi mangsa gangguan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Suriani Ahmad, berkata definisi gangguan seksual itu perlu jelas dan dimasukkan dalam akta terbabit serta diterangkan kepada umum supaya ia tidak kelihatan berat sebelah.

Katanya, akta berkenaan yang kini pada peringkat perbincangan bersama pemegang taruh, bertujuan melindungi mangsa secara inklusif.

“Buat masa ini, kita cuma ada satu garis panduan gangguan seksual dan ia terhad di sektor awam.

“Melalui garis panduan sedia ada, jika terjadi sebarang salah laku gangguan seksual, kita tiada akta untuk dirujuk bagi mendapatkan keadilan kepada mangsa.

“Kita kini berada di peringkat memperkemaskan kertas kerja Akta Gangguan Seksual terbabit dan sejurus siap ia akan dirujuk kepada Peguam Negara sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan. Ia dijangka dibahas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti,” katanya selepas Majlis Pelancaran Tahun Memperkasa Wanita 2018 peringkat Perlis di Dewan Warisan di sini petang tadi.

Majlis itu dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datuk Yatimah Sarjiman; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Datin Seri Nor Aswana Omar.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mencadangkan supaya diwujudkan Akta Gangguan Seksual bagi melindungi mangsa gangguan seksual.

Bagaimanapun, ia masih di peringkat perbincangan dan fokus utamanya bagi melindungi mangsa gangguan seksual terutama wanita.

Terdahulu, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diadakan antara Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Negeri Perlis (MAIPs) bagi mewujudkan kursus insentif membantu wanita asnaf membabitkan ibu tunggal dan miskin di negeri ini.

Pada majlis berkenaan, MAIPs diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor, manakala Pengarah JPW Perlis, Shuhada Sabidin menukar memorandum antara kedua pihak dengan disaksikan Raja Muda Perlis – berita harian