LUMUT – Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Akta Kastam akan dipinda bagi membolehkan perlaksanaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai tahun hadapan.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, beberapa pindaan akan dibuat sebelum perlaksanaan status baharu pulau itu pada tahun hadapan.

“Perbincangan bersama antara pihak Kastam dan kerajaan negeri melalui Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir juga sudah dibuat pada minggu lalu.

“Ia akan dilaksanakan pada tahun hadapan dan perbincangan (membabitkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai) bersama Menteri Besar juga sudah dibuat,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penutupan Operasi Patroli Laut Terkoordinasi Kastam Malaysia-Indonesia (Patkor Kastima) 23B/2017 di Pangkalan Marin Kastam, Kampung Acheh di sini hari ini. – K! ONLINE