PORT DICKSON: Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan masih mengguna pakai Akta Hasutan 1948 yang disifatkannya sebagai undang-undang menindas.

Penasihat DAP itu berkata, undang-undang sedemikian perlu dikaji sejajar dengan semangat Malaysia baharu.

“Saya tidak bersetuju dengan penggunaan akta yang menekan dan menindas rakyat seperti Akta Hasutan kerana masih ada banyak lagi akta yang boleh digunakan pihak berkuasa dalam menyiasat sesuatu kes.

“Undang-undang yang menindas perlu dikaji semula seperti yang diinginkan Malaysia baharu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan mesra di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penahanan Azman Noor Adam, adik kepada anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, mengikut Akta Hasutan 1948.

Azman pada Selasa lalu ditahan kira-kira jam 3 pagi di kediamannya di Shah Alam, Selangor bagi membantu siasatan kerana menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya sama ada beliau sendiri akan membawa usul supaya akta terbabit dikaji dan dibahaskan di Dewan Rakyat yang akan bersidang 15 Oktober ini, Kit Siang bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Anda (media) mengharapkan tajuk utama, namun saya tidak pentingkan tajuk utama,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, dakwaan PAS kononnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson menunjukkan sifat sebenar parti terbabit.

“Saya berpandangan PAS hanya merendahkan diri mereka dengan memainkan peranan kecil dalam politik Malaysia,” katanya – berita harian