IPOH – Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji semula Akta Kerja 1955 bagi mengemaskini beberapa keperluan supaya ia lebih sesuai dengan situasi pekerjaan ketika ini.

Menterinya, M. Kulasegaran berkata, kementeriannya sedang mempertimbang untuk memasukkan lapan perkara baharu di bawah akta berkenaan bagi memastikan ia lebih inklusif dalam melindungi kepentingan semua pihak termasuk golongan pekerja serta majikan.

Menurut beliau, akta berkenaan ketika ini telah pun dilihat secara menyeluruh oleh kementeriannya dan dijangkakan draf penuh mengenai kajian akta itu akan siap sepenuhnya pada minggu hadapan.

“Kita sedang melihat perkara ini termasuk 8 perkara baharu itu, sekarang kita sedang mengadakan perbincangan dengan pemegang yang berkepentingan, persatuan pekerja, badan bukan kerajaan dan juga beberapa pihak lain.

 “Lapan perkara baru ini dilihat perlu kerana sesetengah daripada (Akta) itu sudah terlampau lama, tidak menepati keperluan pekerjaan ketika ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Pesta Kerjaya Untuk Golongan Kelainan Upaya (OKU) di Yayasan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional, A. Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri,  Howard Lee.

 Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Kula Segara berkata, pihaknya berharap golongan OKU akan diberikan lebih ruang dan peleuang untuk berama-sama membangunkan sektor ekonomi negara.

 “Setakat ini di sektor kerajaan seperti ditetapkan adalah 1 peratus untuk golongan OKU namun buat masa ini ia berada pada 0.6 hingga 0.8 peratus sahaja, kementerian sedang berusaha untuk tingkatkan angka ini.

 “Kerajaan juga memuji langkah majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU, ia satu langkah baik kerana tak boleh ketepikan golongan ini untuk mereka mengupayakan diri, galakkan perlu diberi,” ujarnya