PUTRAJAYA : Kerangka perundangan Akta Kesamarataan Gender bagi menangani diskriminasi berasaskan gender masih dalam proses penggubalan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, untuk memastikan kerangka itu mencapai objektif, sebanyak 16 sesi libat urus telah diadakan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Katanya, Kementerian Luar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli-ahli akademik antara pemegang taruh yang terlibat langsung dalam merealisasikan penggubalan undang-undang itu.

“Pasukan Projek Khas berkenaan sudah diwujudkan dan bergerak sejak Februari 2019 lagi. Sesi libat urus berkenaan akan terus melibatkan penyertaan lebih ramai masyarakat yang berkepentingan untuk membincang dan mencari kaedah terbaik untuk dirangkumkan dalam undang-undang itu.

“Bagaimanapun kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang memberi fokus kepada proses penggubalan rang undang-undang (RUU) gangguan seksual yang mana ia akan dibentangkan di Parlimen tahun ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita itu berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Mesyuarat Pertama Pegawai Kanan kerjasama Asia Pacific 2020 bertajuk Symposium Gender Maintreaming and Woman Empowerment to Fight Corruption di Hotel Marriot Putrajaya hari ini.

Beliau turut merasmikan satu lagi majlis iaitu Hari Keselamatan Internet 2020 Edisi Malaysia dan Forum memupuk Fasih Digital di Era Milenia.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan pada Disember lalu memaklumkan bahawa cadangan tribunal khas juga akan dimasukkan dalam Akta Gangguan Seksual yang bertanggungjawab mendengar dan menangani kes gangguan seksual nanti.

Dalam ucapan perasmian Hari Keselamatan Internet pula, Wan Azizah menyatakan keseriusan kerajaan terhadap ancaman siber ke atas kanak-kanak di negara ini.

“Kita mengakui bahawa kanak-kanak menggunakan media sosial sebagai open platform education serta aplikasi digital untuk interaksi sosial selain mendapatkan maklumat terkini.

“Ia secara tidak langsung mendedahkan mereka dengan ancaman siber seperti pornografi, child grooming dan sexting yang kian tular secara bebas dan luas serta meraisaukan banyak pihak termasuk ibu bapa.

“Dalam kajian DiGi CyberSAFA2015 yang dijalankan, hasilnya mendedahkan bahawa satu daripada empat kanak-kanak mungkin bersetuju untuk berjumpa dengan seseorang individu yang baru dikenali di dalam talian internet dan walaupun ia hanya 25 peratus tetapi sangat merunsingkan saya,” tegasnya. -MalaysiaGazette