KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal Akta Majlis Halal Negara selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata ia masih pada peringkat kajian semua agensi di bawahnya.

Akta berkenaan digubal bagi menyelaras semua agensi halal yang berada di bawah kerajaan untuk memastikan standard pensijilan halal berada di tahap terbaik.

“Kita mempunyai 342 agensi berkaitan halal termasuk bahagian kajian, pemasaran dan teknologi yang perlu diselaras di bawah satu bumbung.

“Ini penting supaya setiap arahan dan fungsi setiap agensi lebih jelas, sekali gus memperkukuhkan pelaksanaan pensijilan halal negara yang juga antara terbaik di dunia,” katanya kepada media selepas merasmikan pelancaran siaran dokumentari Hidangan Laluan Sutera di sini, hari ini.

Turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian; Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG), David Teo.

Hidangan Laluan Sutera yang dialih suara ke bahasa Melayu itu akan mula ditayangkan setiap Rabu sebanyak lima episod bermula esok jam 11 malam di saluran Astro Naura.

Dalam pada itu, Fuziah berkata pihaknya akan bekerjasama dengan negara lain dalam mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan ibadah haji serta wakaf.

“Banyak negara yang berminat untuk belajar bagaimana Malaysia menguruskan jemaah haji dan kita terbuka untuk berkongsi pengalaman dan kemahiran.

“Pada masa sama, kita akan belajar daripada negara luar mengenai pengurusan wakaf terutama Singapura di mana cara pengendalian wakaf mereka antara terbaik sehingga masjid di sana didirikan melalui dana wakaf dan bukan wang kerajaan,” katanya – berita harian