KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 Februari ini untuk mendengar permohonan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Peguam J Leela yang mewakili Anwar berkata, Hakim Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh itu selepas kes disebut semula di dalam kamarnya di sini.

Menurutnya, mahkamah memerintahkan kerajaan untuk memfailkan afidavit pada 21 Disember ini manakala pihaknya mengemukakan afidavit balasan sebelum 11 Januari tahun depan jika perlu.

Selain itu, katanya, mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujah bertulis sebelum 13 Februari ini.

Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob hadir bagi pihak kerajaan dan MKN.

Pada 14 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar selepas mendapati hanya Mahkamah Persekutuan yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu.

Beliau merayu terhadap keputusan itu dan ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 6 November tahun lalu.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Pada 13 November lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes saman itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi.

Pada 2 Ogos 2016, Anwar memfailkan saman terhadap kerajaan dan MKN bagi memohon deklarasi bahawa Akta MKN tidak mengikut perlembagaan.

Dalam saman itu, Anwar turut memohon deklarasi Seksyen 12 Akta Perlembagaan, Perkara 66(4) dan Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah.

Beliau turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada mengambil sebarang tindakan mengikut akta itu.

Anwar mendakwa Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 dan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 dan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994.

Melalui pindaan itu, Anwar mendakwa Perkara 66 sudah diubah daripada asasnya sedangkan Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk meminda Perlembagaan Persekutuan termasuk perkara itu.

Menurutnya, perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan – berita harian