IPOH 1 Mei – Taman tema Movie Animation Park Studio (MAPS) di sini akan dijadikan sebagai antara lokasi bagi menonjolkan aktiviti gaya hidup sihat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Shafeii Abdul Gaffoor berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada model perniagaan baharu yang diperkenalkan oleh pihaknya untuk menarik lebih banyak kedatangan pengunjung ke taman tema berkenaan.

“Salah satu yang kita tekankan ialah permainan ‘paintball’. Saya ingat dalam bulan depan kita akan ada go-kart.

“Selain orang menikmati taman tema, kita akan wujudkan aktiviti bagi menonjolkan gaya hidup sihat termasuk sukan ekstrim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kejohanan Paintball Piala YB Hasnul Zulkarnain 2019 yang julung kalinya diadakan di MAPS di sini hari ini.

Kejohanan itu disertai oleh 280 peserta mewakili 28 kumpulan termasuk para pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam pada itu, Mohamed Shafeii berkata, pihaknya menyasarkan untuk menyediakan empat tapak perlawanan ‘paintball’ menjelang hujung tahun ini.

“Pada masa sama, saya menjangkakan kejohanan akan diadakan dalam masa setiap dua bulan,” katanya. – UTUSAN ONLINE