Kerajaan negeri Perak membekukan serta merta semua aktiviti pembalakan di hulu dan sepanjang Sungai Rui di Hulu Perak.

Tindakan itu adalah antara langkah segera untuk mengawal pencemaran di sungai tersebut, walaupun ia menyebabkan kerajaan negeri kehilangan sumber pendapatan kira-kira RM30 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan juga diambil oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Minineral dan Geosains yang memperketatkan syarat perlombongan.

Katanya, pemantauan dan penguatkuasaan oleh semua agensi terlibat akan dipertingkatkan bagi memastikan kelestarian alam sekitar untuk rakyat Perak.

“Fokus kita adalah untuk memastikan tindakan diambil untuk menghentikan bentuk pencemaran, pemulihan keadaan dan memastikan usaha kelestarian, usaha pemulihan ini.

“Mungkin proses ini akan mengambil masa 100 tahun lagi tetapi kita perlu mempunyai political will atau keberanian politik bagi melakukan perkara yang betul demi generasi anak cucu kita di negeri tercinta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas mengenai pencemaran Sungai Rui di sini pada Rabu.

Ahmad Faizal berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas atau task force yang diletakkan di bawah Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri, membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan negeri dalam melindungi alam sekitar dan rakyat negeri Perak.

Menurutnya, kajian lanjut akan diteruskan bagi mengekang impak negatif semua akvititi ekonomi dan aktiviti manusia terhadap alam sekitar.