IPOH – Kerajaan negeri mengesahkan tidak wujud sebarang aktiviti perlombongan haram di Kampung Sahom sehingga menyebabkan pencermaran air di Sungai Kepar seperti didakwa oleh penduduk kampung terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, melalui laporan yang diterima dari agensi terlibat, kesemua operator perlombongan di kawasan terbabit mempunyai kebenaran dan lesen yang sah.

“Saya telah mendapat laporan awal, saya difahamkan aktiviti perlombongan itu dijalankan oleh syarikat-syarikat dibenarkan, mereka bukan operator haram, namun dari segi aspek SOP itu mungkin tidak dipatuhi sehingga timbul pencemaran.

“Mungkin kebenaran itu mereka (operator perlombongan) ada tapi mesin tidak dibenarkan di bawa masuk, ia mungkin melibatkan soal SOP,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Isnin.

Justeru, Abdul Aziz berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh oleh beberapa agensi terlibat mengenai isu itu dalam masa terdekat sebelum apa-apa tindakan diambil.

“Saya janji mungkin minggu hadapan akan datang sekali lagi melihat setakat mana benarnya dakwaan itu, saya agak risau kerana kononnya kedatangan pengunjung ke situ juga telah berkurangan.

“Laporan penuh itu nanti akan lebih jelas, ia akan melibatkan beberapa agensi dan satu perbincangan mengenai isu ini juga akan dibuat secepat mungkin,” ujarnya.

Abdul Aziz pada Isnin telah melakukan lawatan ke sekitar Kampung Sahom selepas mendapat aduan daripada penduduk kampung berkenaan.

Baru-baru ini, 100 penduduk Kampung Sahom telah berkumpul menyatakan bantahan mereka terhadap aktiviti perlombongan haram yang didakwa dijalankan di ladang kelapa sawit di kampung berkenaan sehingga menyebabkan pencemaran air di Sungai Kepar.

Mereka mendakwa sekiranya aktiviti haram tersebut tidak dihentikan, sisa galian daripada aktiviti perlombongan itu boleh mengganggu ekosistem sungai dan menjejaskan kesihatan orang kampung.