SEREMBAN: Aktiviti ternakan khinzir dan katak dipercayai punca pencemaran sungai di Kampung Baru Site C, Port Dickson, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata penemuan itu berdasarkan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri selepas membuat pemeriksaan di lokasi berkenaan selepas menerima aduan mengenai pencemaran sungai itu pada 31 Mac lalu.

Katanya, penduduk setempat yang membuat aduan memaklumkan mengenai pembuangan enap cemar berminyak yang dikatakan datang daripada sebuah premis penapisan minyak di lokasi terbabit, menyebabkan pencemaran sungai itu berlaku.

“Susulan daripada aduan yang diterima, JAS Negeri Sembilan menggerakkan satu pasukan penguat kuasa ke lokasi itu pada hari sama bagi menjalankan siasatan.

“Siasatan mendapati premis itu tiada kaitan dengan pencemaran sungai berkenaan dan berdasarkan sampel yang diambil, tiada kesan minyak atau bau minyak dikesan. Sampel itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dikenal pasti kandungannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Veerapan berkata, pemeriksaan lanjut berhampiran sungai berkenaan mendapati terdapat aktiviti ternakan dan tempat penyembelihan khinzir dan ternakan katak.

“Siasatan mendapati, pencemaran sungai ini mungkin disebabkan oleh aktiviti ternakan khinzir dan katak berdasarkan kesan lemak dan enap cemar berminyak terbabit.

“Bagaimanapun, aktiviti ternakan dan sembelihan bukan di bawah bidang kuasa JAS dan kita menyerahkan kes kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kes berasingan, Veerapan berkata, JAS turut menerima aduan pencemaran Sungai Machang, Lenggeng di Nilai, akibat daripada aktiviti pengorekan pasir di hulu sungai.

Katanya, JAS mendapati premis itu gagal menyediakan kawalan hakisan dan kelodak seperti disyorkan dalam surat JAS terdahulu.

“Siasatan mendapati air cucian pasir daratan terus keluar ke Sungai Machang Ulu tanpa sebarang kolam mendapan. Keadaan air sungai adalah keruh dan tercemar dengan air cucian pasir.

“JAS mengambil bacaan insitu di Sungai Machang Ulu dan Sungai Lenggeng serta mendapati bacaan kekeruhan di kedua-dua sungai itu adalah tinggi berpunca daripada air cucian aktiviti pengorekan pasir,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut – Berita harian