SEKINCHAN – “Saya dah maklumkan pejabat agama nak jual makanan pagi di sini. Saya hanya jual makanan kepada bukan Islam, lagi pun inilah punca pendapatan saya.”

Demikian kata seorang peniaga yang tidak segan silu menjual makanan di sebuah gerai di sini, semalam.

Tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 9.30 pagi mendapati gerai itu dibuka lebih awal dengan menyediakan juadah nasi lemak dan pelbagai jenis lauk lain dijual kepada pelanggan terutama yang beragama Islam.

Peniaga wanita itu berkata, tiada penguatkuasaan diambil terhadapnya selama ini walaupun berniaga di bulan Ramadan.

“Saya tak berniaga di bazar Ramadan, jadi tak ada masalah kalau saya berniaga di sini.

“Kalau yang datang beli di gerai saya pun hanyalah penagih dadah yang tak berpuasa. Saya jual kalau mereka inginkan makanan,” katanya.

Tidak sampai 15 minit selepas Sinar Harian menemu bual, wanita terbabit dilihat tergesa-gesa mengemas dan menyimpan makanan dijual secara terbuka itu meskipun makan tersebut belum lagi habis.

Cemar kesucian Ramadan

Seorang pembeli di pasar awam itu, Rosli Razak, 60, berkata, perlakuan wanita yang menjual makanan pada waktu pagi dianggap sebagai mencemar kesucian Ramadan.

“Tak eloklah dia berniaga di situ. Di sini, ramai orang lalu-lalang. Patutnya dia mesti ada perasaan malu bila berniaga bukan pada waktu sepatutnya di khalayak ramai,” katanya.

Imam Masjid Parit 9 Pasir Panjang, Abu Hassan Omar berkata, peniaga tidak seharusnya mengambil kesempatan menjual makanan di sebalik penutupan banyak kedai dan gerai makan Islam tutup pada waktu pagi.

“Jika ada gerai seperti ini, ia secara tak langsung menggalakkan umat Islam yang tak berpuasa mencari juadah yang dijual.

“Saya jarang ke pasar ini, tapi terkejut sebab ada peniaga tanpa rasa malu jual makanan kepada pembeli Islam,” katanya.

Justeru, katanya, Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam diminta menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap peniaga seperti ini.

“Kita harap pejabat agama juga dapat memberi nasihat yang sepatutnya supaya penjual ini insaf dengan perbuatannya,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Mohd Fariz Bahari, 40, berkata, walaupun penduduk di Sekinchan terdiri dari majoriti kaum Cina, namun masih ramai juga komuniti Melayu membeli ikan dan sayuran di pasar awam berkenaan.

“Jangan bukalah gerai macam ini di waktu pagi. Apa pandangan bukan Islam kalau tengok kita jual makanan dalam bulan Ramadan ini sama saja seperti bulan lain.

“Sepatutnya, kita kena tunjukkan contoh terbaik kepada bukan Islam, baru mereka akan hormati agama kita,” katanya.

-Sinarharian