CHEMOR: Prihatin dengan kekerapan kejadian kebakaran rumah kayu di sekitar Hulu Kinta, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan tersebut merancang untuk membekalkan rumah-rumah yang berisiko tinggi dengan alat pemadam api.

YB Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, beliau akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengenalpasti rumah-rumah yang berisiko tinggi, khususnya rumah-rumah papan.

Di samping itu, kata beliau, pihaknya juga akan mengatur siri taklimat keselamatan kebakaran untuk penghuni rumah-rumah yang berisiko tinggi.

“Kita memandang berat perkara ini kerana kebelakangan ini sering berlaku kebakaran, saya lihat perlu ada taklimat untuk memberi penerangan kepada mereka untuk mengelakkan kebakaran.

“Di samping itu, mana-mana rumah yang berpotensi seperti rumah papan, kita beri keutamaan untuk memberi alat pemadam api,” katanya kepada Suara Perak selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Che Zainal di sini, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi Ahad, lebih 80 peratus rumah milik Rosmah Ahmad Tarji musnah yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Rosmah yang terkunci di dalam rumahnya berjaya diselamatkan jiran yang kebetulan sedang menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018.