IPOH: Selepas kejayaan pelancaran album PORT Listen I pada tahun 2015, PORT melancarkan album PORT Listen II yang menggabungkan 10 lagi band anak tempatan.

Pelancaran album terbaru itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuas Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri yang juga Ahli Lembaga PORT, Datuk Zainol Fadzi Paharudin di Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar (Taman Kanak-Kanak) di sini pada Sabtu malam.

Pelancaran itu sebahagian daripada program ‘Inovating into the Sound Street Art Bazaar’ sempena Perak Festival of Idea’s (PFOI) dan Pangkor Dialogue.

Zainol berkata, PORT Listen adalah salah satu inisiatif bagi menyediakan platform untuk penggiat seni muzik tempatan mengeluarkan produk sendiri.

“PORT Listen menyediakan perkhidmatan rakaman audio bagi penggiat muzik yang terpilih untuk memudah cara serta menyediakan mereka sebelum dapat dipasarkan,” katanya ketika berucap.

Hadir sama Pengurus PORT, Syed Zarul Hisyam Syed Khairudin.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir singgah sebentar di program itu untuk melihat dan mendengar aktiviti yang dijalankan.

PORT Listen II menampilkan 10 bank tempatan yang menghasilkan lagu sendiri dengan genre kontemporari yang lebih mesra dan dekat dengan citarasa anak muda masa kini.

album-port 5

10 band itu ialah Eight Band, Six Twelve, Gurry Shang, Trivia, Rock Seven, SX Strings, Arif Sumbu, Fatera dan Skipper.

Menurut Zainol, daripada 10 band di dalam album PORT Listen I, dua telah berjaya menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman.

Dalam pada itu, beliau meminta pihak PORT supaya berbincang dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi mengadakan program ‘sound into the sound street bazaar’ di medan selera berkenaan setiap hujung bulan.

“Berdasarkan maklum balas, selepas dua malam program ini diadakan di sini, sambutan daripada pengunjung sangat menggalakkan dan ia mungkin boleh diadakan pada malam minggu terakhir setiap bulan,” katanya kepada Suara Perak.