TANJUNG MALIM: Aliran pendidikan agama tidak memandang sepi kepentingan sukan dalam membentuk modal insan mukmin yang seimbang dalam pelbagai bidang.

Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, ia dibuktikan dengan penganjuran Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) yang diadakan setiap tahun.

Menurut beliau, sukan juga selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW yang meminati acara beriadah, khususnya memanah, menunggang kuda dan berenang.

“Jelas sekali, sukan dan riadah itu adalah sebati dengan gaya hidup sihat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW,” katanya dalam ucapan di Majlis Perasmian Penutup KESSUMA kali ke-19 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Speaker Dewan Negeri Perak, YB Aminuddin Zulkipli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohd Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

YAB Ahmad Faizal berkata, kehadiran kira-kira 1,800 atlet dari sekolah-sekolah menengah agama di 10 negeri pada kejohanan dari 15 -19 Julai itu jelas membuktikan bahawa para pelajar aliran agama juga sememangnya aktif dalam bersukan.

“Saya difahamkan objektif penganjuran pertandingan ini diadakan adalah bagi meningkatkan pencapaian dan perkembangan pendidikan di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) berdasarkan keperluan masyarakat dan negara.

“Ia bertepatan dengan kehendak arus perdana pendidikan negara yang memerlukan pelajar yang cerdas dalam pelajaran dan cergas dalam pelbagai acara sukan,” ujarnya.

Beliau melahirkan rasa bangga kerana KESSUMA juga mendapat pengiktirafan dari Kementerian Pendidikan sebagai program kokurikulum di peringkat kebangsaan yang membolehkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Agama Rakyat mendapatkan 10 markah merit untuk kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam negara.

Beliau berpendapat, kejohanan itu juga bagi memastikan pelajar sekolah agama tidak terpinggir daripada arus pendidikan perdana dengan menyediakan berbagai-bagai kemudahan serta peluang pembelajaran yang lebih sistematik dan berdaya saing.

“Adalah menjadi harapan kita untuk melihat sekolah aliran agama mampu melahirkan jagoan sukan bukan sahaja di peringkat negeri, malahan mampu mengharumkan nama negara di persada sukan dunia.

“Ini adalah selaras dengan transformasi pendidikan negara yang mensasarkan untuk melahirkan modal insan yang seimbang dan cemerlang dari pelbagai aspek, bukan sekadar akademik semata-mata,” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada mereka yang menang, YAB Ahmad Faizal berkata, walaupun kemenangan itu penting tetapi apa yang lebih utama ialah mengambil bahagian dan mengutamakan semangat kesukanan.

“Ia juga bukan pengakhiran kepada mereka yang tewas, sebaliknya jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk bangkit dengan kekuatan dan keazaman baru bagi melakar kejayaan pada kejohanan akan datang,” ujarnya.