IPOH – Kukuhkan hubungan dengan kumpulan Islam dan UMNO menjadi antara pesanan terakhir disampaikan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa sebelum meninggal dunia di Madinah, hari ini.

Amanat itu disampaikan kepada Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamarudin dalam satu Mesyuarat Badan Perhubungan Pas negeri, beberapa hari sebelum Allahyarham berangkat ke Madinah.

Mohd Akmal berkata, dalam pertemuan itu, Allahyarham yang juga mantan Ketua Pemuda Pas negeri memberitahu bahawa sebagai ahli parti, mereka perlu mendokong kuat idea-idea Presiden Pas atas agenda penyatuan ummah.

“Bila beliau menyatakan bahawa kita mesti kukuhkan hubungan dengan kumpulan Islam dan dengan UMNO, saya menjawab Insya-ALLAH dan memintanya agar tidak bimbang.

“Allahyarham menjawab semula dengan Alhamdulillah,” katanya.

Menurutnya, antara sikap Allahyarham yang jarang diketahui ramai adalah beliau lebih senang menaiki kenderaan awam atau menumpang rakan untuk ke satu-satu tempat.

“Kebetulan kenderaan saya juga pernah Allahyarham tumpang dari Kuala Lumpur ke Ipoh, itulah amalan dan semangat juangnya hingga dipilih ALLAH riwayat hidupnya berakhir di bumi Madinah,” katanya.

Beliau mengagumi sumbangan dan komitmen Allahyarham sepanjang bersama Pas dalam memperjuangkan Islam.

Katanya, misi terbaharu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Geng Ustaz, Allahyarham merancang membina sebuah masjid di Palu Indonesia.

“Semangat juangnya tak pernah luntur, generasi kini patut mencontohinya,” katanya – sinar harian