SEREMBAN: Ceti haram atau along kini menggunakan taktik baharu untuk memungut hutang apabila menyimbah cat di rumah jiran peminjam bagi memalukan peminjam yang gagal menyelesaikan pinjaman.

Perkara itu didedahkan seorang pemberi hutang yang dikenali sebagai Rickie, 38.

Beliau berkata, ia adalah kaedah serangan psikologi ke atas peminjam yang tidak membayar semula pinjaman.

Katanya, kebanyakan syarikat pinjaman wang berkenaan sebelum ini menyimbah cat di rumah peminjam, namun kaedah itu kurang berkesan.

“Kaedah yang digunakan ketika ini adalah menyimbah cat pada kenderaan atau rumah milik jiran. Kalau bukan jiran, kediaman rakan berdekatan akan menjadi sasaran.

“Mangsa tidak berhutang dengan kami, tapi cara ini menyebabkan mereka takut dan marah,” katanya.

Kata Rickie, jiran atau kenalan peminjam yang menjadi sasaran akan membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan mereka dan keluarga.

“Keadaan di kawasan kejiranan akan menjadi kecoh dan penduduk akan menyiasat siapa yang sebenarnya yang meminjam dengan kami.

“Lama-kelamaan mereka akan tahu hingga menyebabkan peminjam berasa malu dan membayar hutang,” katanya yang ditemui, di sini.

Mengulas tindakan ganas ke atas peminjam, Rickie berkata, mereka tidak bertindak sedemikian melainkan jika wujud provokasi.

“Apabila peminjam tidak membayar hutang, kami terlebih dulu memberi amaran supaya menyelesaikan tunggakan. Tetapi, apabila individu itu melawan atau mencabar sehingga berlaku provokasi, maka timbul kekerasan,” katanya.

Dalam pada itu, Rickie menasihatkan orang ramai supaya tidak meminjam dengan along kerana kadar faedah yang dikenakan terlalu tinggi, tidak seperti institusi perbankan.

“Kadar faedah dikenakan bagi syarikat berlesen adalah 10 peratus setiap bulan. Jika meminjam RM1,000, peminjam perlu melangsaikan bunga (faedah) iaitu RM100 sebulan dan ia tidak termasuk bayaran pinjaman tetap.

“Jika meminjam dengan ceti haram, kadar faedah lebih tinggi iaitu antara 20 peratus dan 75 peratus setiap bulan,” katanya – berita harian