IPOH: Kes rusuhan yang berlaku di USJ perlu ditangani segera kerana jika dibiarkan berterusan, ia akan membakar permusuhan perkauman berlarutan.

Sehubungan itu, 700,000 bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diminta memainkan peranan aktif untuk membantu mengekalkan suasana harmoni negara ini.

Mantan Presiden, Briged Sukarelawan Khidmat Negara (Alumni PLKN), Mohd Syafik nMohd Taufik berkata, bekas pelatih PLKN telah menjalani latihan bersama dan dilatih saling menghormati kepelbagaian kaum dan agama.

“Saya yakin dan percaya sekiranya lebih 700,000 orang bekas pelatih memainkan peranan aktif, suasana keharmonian selama ini pasti dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut beliau, sekiranya ia dapat dilakukan, secara tidak langsung, masyarakat akan melihat keberkesanan perlaksanaan program itu.

“Tidak perlu majlis rasmi, tetapi hubungan persahabatan yang diwujudkan sesama alumni PLKN pasti dapat menenangkan keadaan semasa juga mengembalikan perpaduan yang kukuh,” ujarnya.

Di samping itu, kata beliau, di dalam era teknologi ketika ini, Alumni PLKN juga perlu bijak dalam penggunaan media sosial.

“Alumni PLKN perlu memainkan peranan menghentikan sebarang hebahan maklumat yang berunsur provokasi perkauman dan keagamaan.

“Maklumat yang tidak benar serta provokasi perlu dielakkan dari viral di media sosial, hal ini menjadi barah dan membakar sentimen perkauman,” kata beliau.

Syafik berkata, sikap toleransi serta hormat menghormati kepalbagaian agama ini perlu dipelihara.

Justeru itu, beliau berharap kerajaan dapat melihat keperluan meneruskan program yang dapat menekankan nilai patriotisme juga dalam masa sama mengukuhkan hubungan antara kaum.

“Seluruh masyarakat di Malaysia perlu memainkan bersama mewujudkan penyatuan dalam kepelbagaian. Malaysia Baharu perlu kehadapan mengukuhkan perpaduan kaum dalam memastikan pembangunan negara ke hadapan,” tambahnya.