IPOH: Rakyat di negeri ini dinasihatkan supaya mengamalkan lima jangan ketika berurusan dengan media baru, termasuk Facebook, Whatsapp dan Weechat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, lima jangan itu ialah:-

1. Jangan sebar secara copy & paste (salin & tampal).

2. Jangan sebar kerana sharing is caring, tak best pun kongsi fitnah ni.

3. Jangan sebar dengan harapan orang lain tolong selidik dan semak kesahihannya.

4. Jangan sebar kalau baik tu baiklah, kalau salah tu boleh minta maaf je.

5. Jangan sebar cerita yang bukan dari mulut orang itu sendiri.

Menurut Nolee, menyemak kesahihan berita adalah sangat penting sebelum menyebarkannya.

“Cuma semak sumber berita terlebih dahulu, pastikan ia adalah dari sumber yang diyakini sahih dan jika tidak pasti, jangan kongsi, itu saja,” katanya ketika berucap merasmikan #Negaraku: Seminar Media Sosial Peringkat Negeri Perak 2017 di Auditorium RTM Ipoh di sini pada Khamis.

Hampir 1,500 penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi menghadiri seminar sehari itu yang diisi dengan pembentangan kertas kerja dan forum daripada penceramah terkenal seperti Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim dan Pakar Motivasi, Hushim Salleh.

Nolee berkata, seminar itu juga bertujuan untuk memperkenalkan portal SEBENARNYA.MY. yang dilancarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), baru-baru ini.

SEBENARNYA.MY, adalah sebuah portal yang mahu memaklumkan kesahihan berita yang tular di media sosial dalam usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu.

Sehingga kini, SKMM telah mengenal pasti hampir 1,000 berita palsu yang menular di dalam negara, yang bukan sahaja mengelirukan, malah boleh mengancam keselamatan rakyat dan negara.

Dalam pada itu, Nolee menyeru ibu bapa agar membimbing anak-anak mereka daripada melayari bahan-bahan yang tidak sesuai dengan mereka, khususnya pornografi.

Beliau memberitahu, daripada tahun 2015 hingga Disember 2016 sejumlah 244 laman komputasi dan pornografi kanak-kanak telah disekat oleh MCMC hasil dan kerjasama dengan semua pihak termasuk PDRM.