IPOH: Amanah Perak menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi penjelasan selain membuat laporan polis terhadap BMT Jelas Sdn Bhd yang mendakwa bertanggungjawab dalam pembinaan projek Lebuhraya Jelapang-Selama-Batu Kawan (Jelas).

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi berkata, tindakan itu perlu diambil bagi memastikan siasatan lanjut dapat dibuat disamping membersihkan kembali imej kerajaan negeri yang terjejas selepas pendedahan BMT Jelas Sdn Bhd itu.

“Kalau Menteri Besar kata,ini projek gelap, dilakukan secara terancang dan misteri, mengapa tidak laporkan sahaja kepada pihak polis supaya siasatan dapat dilakukan.

“Sehingga kini, kerajaan negeri masih berdiam diri manakala syarikat BMT Jelas Sdn Bhd pula telah mengeluarkan pelbagai bukti termasuk kelulusan penyelaras jajaran daripada Majis Kerajaan Negeri Perak (MMK) pada Julai 2010,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sebelum ini, Dr Zambry menegaskan malah menafikan sebarang perakuan atau kebenaran terhadap perlaksanaan projek lebuhraya Jelas yang dianggarkan bernilai sekitar RM4.6 bilion.

Bagaimanapun, penafian itu disangkal oleh Timbalan Pengarah Projek BMT Sdn Bhd, Ahmad Sayufei Zainuddin yang mendakwa mendapat kelulusan untuk melaksanakan pembinaan lebuhraya sepanjang 116 kilometer yang dicadangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak pada 2010.