KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) akan melaksanakan misi bantuan bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi pada 22 hingga 24 Oktober ini.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, berkata, bantuan itu akan membabitkan sumbangan dana dan pasukan bantuan awal bagi meninjau serta menilai bentuk bantuan lain yang sesuai di kawasan terjejas akibat bencana alam itu.

“Kami mendapat kerjasama daripada lembaga kemanusiaan di Indonesia iaitu Aksi, Cepat, Tanggap (ACT) untuk menjalankan misi bantuan ini.

“Bantuan ini lebih kepada tinjauan awal pasukan kami terdiri daripada jurutera, doktor dan wartawan kerana Palu memerlukan jangka masa yang agak panjang untuk memulihkan kedudukan mereka di sana,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Mohamad berkata, tabung bantuan Palu diwujudkan awal bulan ini dan sehingga kini mengumpul lebih RM50,000.

Katanya, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menderma ke akaun Maybank Tabung Kebajikan Pemuda AMANAH bernombor 5628-3464-1808 – berita harian