IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyarankan dua nilai penting iaitu amanah dan inklusif (ta’ayush), dijadikan sebagai matlamat utama untuk mencapai keamanan global.

 Baginda bertitah, dua nilai keislaman itu adalah resepi utama dalam mencapai keamanan dunia sebenar.

 Titah baginda, dua nilai itu harus sentiasa disematkan dalam pemikiran, bukan sahaja untuk mengikis konflik tetapi juga mewujudkan komuniti dunia yang inklusif dan saling mempercayai.

 Baginda bertitah, ini adalah selaras dengan ajaran Rasulullah iaitu mereka yang tidak boleh dipercayai adalah golongan tidak beriman, manakala mereka yang menunjukkan belas kasihan, akan dikasihi Allah.

“Oleh itu, beta menyarankan nilai amanah dan inklusif dijadikan matlamat utama untuk mencapai keamanan global,” titah baginda ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Dunia (WCIT) 2017 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan kerajaan negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru di sini, pada Isnin.

IMG-20171120-WA0027

 Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor USAS, Tan Sri Nordin Kardi.

 Dr Nazrin bertitah, menurut laporan terbaru Institut Kemanan Bangsa-Bangsa Bersatu, proses keamanan yang inklusif merupakan kunci kepada penamat konflik keganasan.

 Titah baginda, menurut laporan itu, proses perdamaian boleh dirosakkan secara kritis oleh pemisahan masyarakat dan pengecualian kelompok-kelompok tertentu dari perundingan damai.

 Dalam pada itu, baginda bertitah, walaupun menurut laporan Indeks Keamanan Dunia, terdapat sedikit peningkatan dalam indeks keamanan tetapi laporan Institut Ekonomi dan Keamanan pula menunjukkan dunia semakin tidak aman, berbanding 10 tahun lalu.

Titah baginda, antara faktor penyumbang kepada penurunan itu ialah peningkatan krisis pelarian sejak satu dekad lalu.

Baginda yang juga Pengerusi Bersama Panel Peringkat Tinggi Mengenai Pembiayaan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bertitah, bagi mencapai keamanan global, semua pihak harus bekerjasama secara kolektif.

Titah baginda, walaupun matlamat untuk membentuk suasana harmoni di dalam dunia sejagat mungkin memakan masa yang lama, namun ia perlu dimulakan.

“Mari kita memulakannya dengan saling mempercayai dan hidup bersama dengan mengamalkan nilai amanah dan ta’ayush,” baginda bertitah.