IPOH – Amanah Perak memberi jaminan, senarai ketua kampung yang dihantar parti itu bagi mengisi kekosongan penjawatan adalah kalangan mereka yang berintegriti dan berkualiti.

Naib Pengerusi Amanah Perak, Muhaimin Sulam berkata, semua calon yang termasuk dalam senarai pendek perlu menjalani suaikenal dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan Ketua Kampung.

“Proses ini diadakan bagi memastikan semua calon daripada Amanah bersedia berkhidmat dengan masyarakat dan kerajaan negeri.

“Penekanan tentang pelaksanaan keadilan sosial dan demokrasi diutamakan selaras dengan manifesto Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata, proses pemilihan Ketua Kampung dilaksanakan Amanah Perak adalah sebagai iltizam dalam pendemokrasian kerajaan.

“Kita menyerahkan budi bicara dan kebijaksanaan kepada kerajaan negeri untuk melantik kalangan nama yang telah diserahkan,” katanya.

Seramai 843 Ketua Kampung Melayu tradisi di negeri ini dijangka dilantik seawalnya, Julai depan bagi menggerakkan aktiviti dan pentadbiran kampung.

Terdahulu, kerajaan negeri membenarkan setiap parti dalam Pakatan Harapan mengemukakan senarai nama ketua kampung dan anggota jawatankuasanya untuk dipertimbang – sinar