PARIT BUNTAR – Amanah kawasan Parit Buntar terus melebarkan sayapnya dengan menubuhkan lima lagi cawangan penaja di Parlimen Parit Buntar semalam.

Setiausaha Amanah Kawasan Parit Buntar, Adnan Abd Rahman berkata, Amanah semakin mendapat sokongan rakyat di Parit Buntar di mana satu demi satu cawangan ditubuhkan bermula selepas PRU14.

“Selepas PRU14, kita berjaya menubuhkan sepuluh cawangan bermakna kita berjaya menubuhkan dua cawangan setiap bulan.

“Situasi ini membuktikan Amanah semakin mendapat tempat di hati rakyat.

“Bagi Amanah kawasan Parit Buntar, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh ahli jawatankuasa penaja cawangan yang berani membentuk jawatankuasa penaja cawangan,” katanya selepas Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Parit Buntar kali ke 3, di sini semalam.

Fail penubuhan lima cawangan penaja tersebut diserahkan kepada Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Perak , Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin semasa majlis perasmian program tersebut di Pekan Baru, Parit Buntar.

Adnan berkata, cawangan penaja terlibat adalah Batu 7, Batu Lima, Taman Kerian Tambahan, Kampung Perak dan Sungai Bakau.

“Masih ada lagi beberapa cawangan yang akan menyusul untuk menyelesaikan penubuhan jawatankuasa penaja dan majlis penyerahan borang ahli.

“Kita berharap perkembangan positif ini menjadi titik tolak kepada peningkatan sokongan rakyat terhadap dasar perjuangan Amanah yang menekankan pendekatan Rahmatan Lil Alamin,”katanya – sinar