IPOH– Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pakatan Harapan (PH) perlu tegas dalam pendirian berhubung isu lompat parti di kalangan pemimpin Umno baru-baru ini.

Perwakilan Amanah dari negeri Johor, Azam Abdul Razak berkata alasan yang sering digunakan bagi menghalalkan tindakan itu ialah untuk memberi kestabilan kepada pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Apa sikap Amanah dalam isu lompat? Sikap tidak konsisten rakan-rakan PH dalam isu lompat ini boleh menyebabkan Amanah tercicir hanya disebabkan persaingan untuk mengukuhkan parti masing-masing.

“Kita tidak mahu sifat bermuka-muka dan makan keliling selain menolak sikap tidak tetap pendirian, tinggalkan DNA lama dan amalkan kejujuran dalam permuafakatan ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perbahasan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional AMANAH di Ipoh pada Sabtu.

Katanya lagi, persefahaman antara Amanah, PKR dan DAP perlu diangkat kembali untuk menjadi rujukan PH dalam proses membuat keputusan.