IPOH – Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang memilih membuat kenyataan rasmi di dalam Bahasa Mandarin dikritik keras oleh parti komponennya Amanah Perak.

 

Naib Pengerusi Amanah Negeri Dr Muhamin Sulam berkata, ia merupakan satu tindakan perkauman dan tidak peka terhadap sensitiviti negara bangsa yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan (PH) selama ini.

 

“Menteri adalah simbol kebangsaan, penggunaan Bahasa Kebangsaan oleh Menteri dalam kenyataan  bukan hanya sekadar suatu kewajaran berbahasa tetapi satu tanggungjawab nasional.

 

“Jawatan Menteri Kewangan adalah jawatan negara, suara dan jawatan Setiausaha Agong DAP sewajibnya seiringan dengan semangat serta falsafah kerajan semasa yang dianggotainya,” katanya melalui kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.

 

Baru-baru ini Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan rasmi kementerian kewangan dalam Bahasa Mandarin, Kebangsaan dan juga Inggeris namun dipersoalkan ramai pihak mengenai rasionalnya memilih menggunakan bahasa mendahului bahasa Malaysia dan Inggeris.

 

Guan Eng mempertahankan tindakan mengeluarkan kenyataan tersebut dalam tiga bahasa bagi menekankan kepelbagaian bahasa di negara ini.