IPOH – Kira-kira 50 pengamal media diraikan dalam satu majlis berbuka puasa bersama media anjuran Parti Amanah Negeri Perak (AMANAH) di sini, hari ini.

Pengerusi AMANAH yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi dan beberapa kakitangan AMANAH tiba di Kafe D’Marmalade kira-kira pukul 7 malam dan beramah mesra dengan para wartawan dan jurugambar dari pelbagai agensi.

“Tujuan majlis ini diadakan ialah untuk saling berkenalan dengan wakil media di negeri ini dan saya kira inilah pertemuan saya yang pertama dengan media yang lain.

“Sebelum ini saya telah ditemubual oleh Astro Awani, Sinar Harian dan Sin Chew Jit Poh.

“Saya memang teringin sangat nak jumpa dengan Berita Harian, Utusan Malaysia, dan wakil media yang lain, namun atas faktor batasan masa saya berpendapat majlis sebegini lebih sesuai untuk meluangkan masa dan saling berkenalan,” ujar beliau dalam ucapan ringkas sebelum menyampaikan hamper kepada wakil dari setiap agensi.

 

Beliau juga berkata majlis tersebut juga sebagai menghargai jasa dan tugasan para petugas media sepanjang pilihanraya yang lalu yang telah banyak membantu memberikan liputan dan laporan positif kepada terutama di saat-saat akhir.

“Kami mengharapkan kerjasama yang erat di antara kedua-dua pihak. Saya mengharapkan agar hubungan ini sentiasa akrab dan mengalukan kedatangan pihak media ke pejabat saya untuk mendapatkan berita, komen dan sebagainya.

“Jika saya tidak sempat menjawab panggilan telefon, tolong WhatsApp saya supaya saya dapat hubungi anda kembali, insyaAllah,” kata beliau.