IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menempelak sikap pemimpin parti Amanah negeri ini yang sering menimbulkan isu dan soalan yang tidak relevan demi mengejar populariti.

Dr Zambry demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi yang mengesanya memberi penjelasan mengenai pembinaan projek Lebuhraya Jelapang-Selama-Batu Kawan (JELAS) baru-baru ini.

“Dia ini kerja nak komen dan bertanya sahaja, itu hari dia tanya pasal Bagan Datuk, sekarang dia tanya pula pasal JELAS.

“Kerja kita dia suka nak tumpang semangkuk, bila dah kerja tumpang semangkuk, ini dia cuba dapatkan populariti dengan hanya bertanya,” ujar beliau dalam satu sidang media di Ipoh pada Rabu.

Menurut beliau lagi, Asmuni seharusnya menujukan soalan tersebut kepada kerajaan Persekutuan dan bukan kepada kerajaan negeri.

“Dia tahu sebenarnya kalau isu lebuh raya ini kena tanya kerajaan Persekutuan, bukan tak tahu…nak buat lebuh raya bukan di peringkat kerajaan negeri.

“Dari segi cadangan atau sebagainya semua orang boleh cadangkan, tapi akhirnya keputusan itu terletak di kerajaan Persekutuan jadi pergi tanya kerajaan persekutuan lah sepatutnya,” kata beliau.