KUALA LUMPUR: Amanat yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak telah membakar semangat 3.6 juta ahlinya.

 Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, intipati amanat yang disampaikan oleh Presiden UMNO itu amat penting untuk  ahli melaksanakannya bagi memastikan parti dalam keadaan terbaik serta bersiap sedia mengharungi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

 “Semangat yang ditunjukkan oleh beliau begitu tinggi dan ianya jelas menunjukkan kesalingan yang begitu baik di antara Presiden dan perwakilan.

 “Amanat telah disampaikan dalam bentuk kekeluargaan, beliau bincang hati ke hati, beri peringatan serta mengariskan persiapan yang perlu dilakukan bagi menghadapi PRU-14,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Presiden UMNO.

 Mengulas lebih lanjut, Dr Zambry berpendapat, semangat bertolak ansur serta bermusyawarah menyelesaikan sebarang masalah melalui konteks kekeluargaan yang ditekankan Najib dalam amanatnya harus diambil dengan serius.

 Kata beliau, ianya adalah suatu perkara yang penting bagi membina kekuatan dalaman parti, selain menyelesaikan masalah dengan kadar segera.

 “Presiden turut menekankan perkara itu dalam konteks intra-parti, supaya ada semangat tolak ansur dalam menyelesaikan masalah sama ada di antara bahagian atau wakil rakyat.

 “Ketahanan serta kekuatan dalaman itu menjadi pra syarat utama dalam kelangsungan parti, walaupun jika diserang oleh pihak luar khususnya pembangkang,” tambah beliau.