IPOH: Penubuhan Tabung Digital Dana Impak Sosial Amanjaya (AMANiFUND. COM) membolehkan rakyat negeri Perak, khususnya belia untuk memohon atau menjana modal serta dana.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sosial, Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Dewan Belia Perak, Ikhsan Adha Mhd Isa, setiap ahli masyarakat berpeluang untuk menyumbang selain mengurangkan kebergantungan terhadap dana dan sumbangan kewangan dari jabatan kerajaan negeri.

Menurutnya, melalui AMANiFUND. COM, belia di negeri ini berpeluang untuk menceburkan diri malah menjadi peneraju impak sosial dalam pelbagai komponen sosial utama iaitu pembangunan komuniti dan pembasmian kemiskinan.

“Ia juga membolehkan negeri Perak dijadikan negeri rujukan sektor perniagaan sosial global lantas membuka ruang dan peluang untuk Hub Kecemerlangan Perniagaan Sosial Asia 2050,” katanya semasa membentangkan usul di persidangan Dewan Belia Perak.

Tambahnya, sudah tiba waktunya bagi belia di negeri ini terlibat secara terus dan meneraju perkembangan sektor perniagaan sosial negeri Perak.

Katanya, ia juga bagi memastikan kesinambungan kejayaan pengiktirafan bandar raya Ipoh sebagai Bandar Perniagaan Sosial Kelima di dunia.