KUALA LUMPUR – Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur bermula Sabtu ini sehingga Selasa depan.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan hari ini berkata angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) dijangka berlaku di kawasan itu.

Menurut kenyataan itu, keadaan tersebut berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Sementara itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur juga dijangka terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang berlaku pada waktu yang sama.

– Bernama