PENAMPANG: Polis memberi amaran kepada mereka yang terus terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram Piala Dunia 2018 supaya menghentikan kegiatan itu atau berdepan tindakan tegas.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata hasil pemantauan pihaknya, ada segelintir masyarakat yang masih terjebak dengan aktiviti haram itu, walaupun operasi berterusan dijalankan polis.

“Selepas penahanan sekumpulan individu dengan rampasan wang tunai hampir RM100,000 tempoh hari, kita dapati masih ada yang belum serik.

“Saya nasihatkan mereka yang masih terbabit (dengan pertaruhan haram Piala Dunia 2018) ini supaya menghentikan kegiatan mereka atau berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya ditemui pada sambutan Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, dua Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jane Lasimbang dan Uda Sulai serta Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Mohd Haris berkata, beberapa hari selepas penangkapan sembilan individu yang disyaki terbabit pertaruhan haram Piala Dunia tempoh hari, pihaknya menahan dua lagi individu berusia 20-an dan 50-an dalam serbuan di sekitar Penampang.

“Kami juga merampas sejumlah wang tunai daripada dua suspek ini selain beberapa peralatan disyaki digunakan untuk pertaruhan.

“Dua individu ini akan disiasat sama seperti yang ditahan sebelum ini iaitu mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 dan kami juga akan merujuk kepada pakar judi bagi membantu siasatan sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya,” katanya.

Terdahulu, Mohd Haris berkata, sambutan Aidilfitri IPD Penampang bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan pegawai dan anggota serta seluruh kakitangan di IPD itu.

“Selain itu, ini peluang bagi kita merapatkan hubungan dengan tetamu yang hadir, terutama masyarakat setempat,” katanya – berita harian