IPOH: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali diberi amaran supaya tidak mengheret negeri Perak ke dalam krisis kepimpinan yang dihadapi parti itu, dalam usahanya meraih sokongan partinya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan, untuk tujuan politiknya itu, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, tidak seharusnya menyerang pentadbiran kerajaan negeri Perak.

Merujuk kepada persaingan antara Azmin dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam merebut sokongan dalam parti mereka, Dr Zambry berkata, beliau tidak boleh menerima perbuatan Azmin yang memburuk-burukkan pentadbiran negeri Perak dalam usahanya itu.

“Jangan disebabkan masalah parti, mereka (Azmin dan Rafizi) masing-masing mahu sokongan di dalam parti sehingga mengheret Perak.

“Saya tak boleh terima (tindakan Azmin) dengan datang ke tempat orang sambil mendabik dada dia yang terbaik dan negeri Perak tidak baik. (Ini) adalah perbuatan yang kehilangan adab saling hormat-menghormati,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Azmin yang cuba memburuk-burukkan Perak dengan membuat perbandingan di antara Perak dan Selangor ketika berceramah dalam program jelajahnya ke beberapa daerah di negeri ini pada Jumaat lalu.

Mengulas lebih lanjut, Dr Zambry berkata, Azmin seharusnya menghormati beliau atas kapasiti kedua-dua mereka adalah Menteri Besar di negeri masing-masing dan pada ketika itu, Azmin adalah tetamu yang melawat ke negeri orang.

“Hak Azmin untuk datang ke negeri Perak adalah haknya sendiri namun sekiranya datang untuk menabur mehnah dan menghina Perak, ia adalah perbuatan kurang beradab. Sekiranya bercakap mengenai soal politik, saya boleh terima.

“Saya juga boleh menggunakan pendekatan melondehkan pelbagai macam kelemahan pentadbiran di negeri lain tetapi saya telah mendidik barisan pentadbiran negeri ini untuk sentiasa menegakkan politik matang dengan menumpukan sepenuh perhatian dalam mengurus dan memajukan negeri,” ujar beliau.

Azmin di dalam program sama turut membuat perbandingan kononnya beliau bertanggungjawab memajukan Selangor sambil mengagung-agungkan beberapa insiatif yang telah dibuatnya di negeri itu.

Namun, Dr Zambry memberitahu, hakikatnya Selangor muncul sebagai negeri maju ketika dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Azmin tidak perlu berbangga dengan hujah-hujahnya tentang keadaan Selangor masa kini kerana Selangor bukan dibina melalui lampu ajaib Azmin.

“Kita di Perak, walaupun mendapat pengiktirafan demi pengiktirafan termasuk di peringkat antarabangsa, tidak pernah mendabik dada dengan mencela negeri-negeri lain,” tambah Menteri Besar.