SINGAPURA: Singapura hari ini memberi amaran kepada orang ramai mengenai laman web palsu yang bertujuan menarik pelaburan dalam Bitcoin menggunakan komen palsu daripada Pengerusi Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS), Tharman Shanmugaratnam.

Tharman juga adalah Timbalan Perdana Menteri Singapura.

MAS, dalam satu kenyataan hari ini berkata, artikel di laman web itu mengenai Bitcoin adalah tidak benar dan sangat mengelirukan.

“Kenyataan yang dikaitkan dengan Tharman adalah sama sekali tidak benar, selain daripada pemerhatiannya yang kuantiti dagangan mata wang kripto di Singapura adalah rendah,” jelas pihak berkuasa monetari itu.

MAS berkata, laman web itu meminta pembaca mendaftar bagi akaun Bitcoin dan meminta butiran terperinci kad kredit dan akaun bank.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mengelakkan daripada mendedahkan sebarang maklumat kewangan atau peribadi dalam borang yang dipautkan daripada laman web itu.

“Melabur dalam mata wang kripto seperti Bitcoin amat berisiko,” kata pihak berkuasa itu.

MAS telah mengeluarkan peringatan pada 19 Disember, 2017, memberi amaran kepada orang ramai tentang risiko pelaburan mata wang kripto.

Ia juga menggesa orang ramai yang mengesyaki sebarang pelaburan yang mungkin menipu atau disalah guna bagi aktiviti yang menyalahi undang-undang lain agar melaporkannya kepada polis.

Bagi maklumat lanjut mengenai mata wang kripto dan pelaburan mata wang kripto, orang ramai boleh merujuk kepada MoneySENSE – program pendidikan kewangan negara bagi peringatan pengguna. — BERNAMA